Membentuk Peribadi Anak

Mengikut pendapat Islam, anak wajar didedahkan dengan latihan menulis, membaca, mengira dan berbahasa pada peringkat usia lima hingga tujuh tahun. Pendidikan yang sesuai didedahkan pada peringkat ini ialah perkara-perkara mengenai ibadah dan akhlak. Contohnya, kanak-kanak yang baru meningkat umur mumayyiz hendaklah dilatih mendirikan solat. Kemudiannya, adab-adab yang mulia hendaklah mula diterapkan dalam bentuk latihan amali seperti berikut:

1. Mengajar anak bercakap atau bergaul dengan baik.

Anak hendaklah dilatih bercakap benar, sopan santun dan mengucapkan perkataan yang baik-baik. Kanak-kanak biasanya begitu sensitif dengan pendengarannya, Mereka mudah terikut-ikut dengan apa yang didengarnya. Sebab itu jika ibu bapa mahu menegur atau memarahi mereka, hendaklah menggunakan bahasa yang paling sopan bukannya dengan bahasa kesat, kasar dan keras.

2. Mengajar anak adab bergaul dengan rakan.

Anak perlu dinasihatkan supaya tidak berbangga atau meninggi diri di hadapan rakan sebayanya, jangan sekali-kali menyakiti atau mengambil hak orang lain.

3. Mengajar anak adab makan minum yang baik.

Sifat atau sikap yang tidak sopan seperti gelojoh ketika makan hendaklah ditegah. Sebaliknya, anak dilatih dulu dengan adab makan seperti mencuci tangan, duduk dengan sopan serta berdoa sebelum dan selepas makan.

4. Mengajar anak adab berpakaian.

Pakaian yang dipilih hendaklah menutup aurat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

5. Mengajar adab bangun daripada tidur termasuk membersihkan diri sebelum dan selepas bangun daripada tidur serta doanya.

6. Mengajar anak adab masuk dan keluar tandas.

Anak perlu diajar cara membuang air kecil dan besar serta cara masuk ke dalam tandas seperti membaca doa, menutup kepala dan membelakangkan kiblat.

7. Mendidik anak supaya taat dan beradab kepada ibu bapa.

Timbulkan kesedaran bahawa pengorbanan ibu bapa terhadap mereka amat besar. Mereka perlu bersyukur kerana menjadi anak yang masih mempunyai ibu bapa. Kesedaran ini dapat mengeratkan hubungan mesra, rasa kasih sayang antara ahli keluarga.

8. Mengajar anak supaya taat dan beradab kepada guru dan orang yang lebih tua daripadanya.

Guru adalah orang yang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu. Orang yang lebih tua adalah mereka yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan.

Tips Mendisiplinkan Anak-Anak

Perihal mendisplinkan anak-anak merupakan tanggungjawab yang agak berat untuk dilaksanakan dengan sempurna oleh kedua ibu bapa. Lebih-lebih lagi jika cara yang digunakan tidak kena atau kurang sesuai. Hal ini akan menyebabkan anak cepat memberontak. Tentunya di kemudian hari, mereka lebih sukar untuk dibentuk.

Disiplin terhadap anak-anak perlu dipraktikkan sejak kecil, biarpun ketika masih di dalam kandungan. Hal ini kerana bayi boleh mendengar percakapan serta merasa sentuhan yang secara tidak langsung akan memberikan tindakbalas.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘disiplin’ adalah, ianya merupakan peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik. Namun maksud peraturan yang digunakan di sini, bersifat agak tegas dan ‘mesti’. Bagi kanak-kanak yang melalui proses pembesaran, mereka tidak mahu terlalu terkongkong dengan perkataan ‘jangan’.

Bagi mereka, perkataan seperti itu seolah-olah memberikan lebih banyak tanda tanya dan akan menyemarakkan lagi perasaan rasa ingin tahu mereka. Ibu bapa yang bijak dan mahir menghadapi anak-anak, akan menggunakan perkataan ‘jangan’ yang disertai dengan sebab dan alasan yang kukuh supaya anak-anak lebih mudah memahaminya.

Disiplin merupakan perkara penting dalam membentuk perkembangan fizikal, mental dan emosi yang sihat untuk anak-anak. Pada peringkat satu hingga tujuh tahun, si kecil akan menjadikan ibu bapa, serta kakak dan abangnya sebagai contoh dalam apa jua situasi. Dalam situasi seperti ini, maka mereka yang dewasa perlulah mempamerkan nilai yang baik kepada si kecil. Oleh itu, didiklah mereka dengan penuh kasih sayang dan bukannya dengan kekasaran.

Perkara paling asas yang perlu dilatih dan diberi perhatian kepada anak-anak ialah meminta maaf seandainya melakukan kesalahan, biarpun ia kesalahan kecil. Pada kebiasaannya anak-anak sukar untuk meminta maaf. Ini kerana mereka tidak memahami erti meminta maaf dan kurang diberi penerangan daripada ibu bapa mereka sendiri. Sebagai contoh, ketika mereka merampas permainan milik kanak-kanak lain, yang disangkakan miliknya.

Peranan ibu bapa adalah memberitahunya bahawa permainan itu adalah kepunyaan kanak-kanak lain dan ajarkan kepada mereka supaya memulangkan semula permainan tersebut. Apa yang lebih penting didik mereka untuk meminta maaf. Dengan cara ini mereka memahami bahawa kepunyaan orang lain tidak boleh diambil tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu.

Selain daripada ucapan meminta maaf, ucapan terima kasih juga perlu dipraktikkan oleh anak-anak. Contohnya, latihlah mereka untuk mengucapkan terima kasih apabila dihadiahkan sesuatu barangan. Bukan itu sahaja, anda juga boleh meminta mereka mengucapkan terima kasih sebaik sahaja anda selesai memandikan dan memakaikan mereka baju. Dengan demikian, mulutnya akan ringan untuk mengucapkan terima kasih di atas apa jua perkara. Anak anda akan menjadi anak yang berkeperibadian mulia dan juga disenangi ramai.

Sesungguhnya didikan awal bermula di rumah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: