Karangan SPM : Budaya Membaca serta Usaha-Usaha Yang Perlu Dilakukan.

Budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia masih berada pada takuk lama. Bilangan mereka yang membaca kini boleh dihitung menggunakan jari. Satu kajian yang telah dilakukan menunjukkan bahawa purata membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia ialah sehelai muka surat untuk satu tahun. Contoh negara yang boleh kita jadikan teladan ialah Negara Jepun. Kadar membaca di negara matahari terbit ini dikatakan paling tinggi di Asia. Namun, di negara kita lain pula kisahnya. Masyarakat Malaysia kurang cenderung ke arah pembacaan buku. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang lebih efektif yang harus kita lakukan agar budaya membaca di Malaysia setanding dengan negara Jepun.

Ibu bapa merupakan elemen yang signifikan dalam usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda. Ibu bapa merupakan orang yang paling rapat dengan anak-anak dan banyak meluangkan masa bersama-sama mereka. Ibu bapa harus menyediakan bahan bacaan yang menarik dan berunsur positif kepada anak-anak mereka serta menggalakkan mereka supaya membaca dan menggunakannya secara maksimum. Di samping itu, ibu bapa harus sepatutnya memberikan nasihat kepada anak-anak tentang kepentingan ilmu pengetahuan dan peranan mereka pada masa hadapan yang penuh cabaran. Selain itu, ibu bapa juga harus acap kali membawa anak-anak ke perpustakaan awam dan ke kedai buku untuk memberikan peluang kepada anak-anak mereka mencari buku-buku yang disukai mereka. Hal ini sedikit sebanyak dapat menyemarakkan semangat membaca dalam kalangan mereka dan mengajak mereka berjinak-jinak dengan bidang ilmu. Lebih mudah sekiranya ibu bapa dapat mewujudkan perpustakaan mini di rumah. Perdana menteri, Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi sering menyeru ibu bapa supaya mengamalkan sikap bapa borek, anak rintik dalam usaha memupuk tabiat membaca dalam kalangan anak-anak. Oleh sebab itu, pada pendapat saya ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan generasi muda.

Para guru dan pihak sekolah juga perlu memainkan peranan dalam usaha meningkatkan budaya membaca dalam kalangan pelajar. Hal ini adalah kerana guru merupakan individu yang kedua selepas ibu bapa yang mampu menjadi contoh dalam tanggungjawab mendidik, seperti peribahasa Melayu, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Guru kelas contohnya, perlulah mewujudkan suasana bacaan di dalam kelas seperti menyediakan perpustakaan mini. Perpustakaan mini ini boleh dibina bersama-sama dengan pelajar agar pelajar dapat memahami fungsi sebenar perpustakaan mini ini di dalam kelas. Selain itu pihak sekolah perlulah memainkan peranan dalam menganjurkan program membaca. Antara program yang boleh diketengahkan ialah program NILAM bacaan waktu pagi dan program Akhbar Dalam Bilik Darjah atau singkatannya ADD. Pihak sekolah juga boleh menawarkan hadiah sebagai motivasi dalam menjadikan program-program tersebut berjaya. Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishamuddin Bin Hussein juga menyokong agar intensif diberikan kepada para pelajar yang banyak membaca. Dengan itu, para guru dan pihak sekolah haruslah menggiatkan usaha-usaha yang telah sedia ada.

Peranan penerbit buku itu sendiri penting untuk menarik minat para pembaca. Mereka seharusnya lebih peka dalam menjadi kanak-kanak dan pelajar sekolah sebagai sasaran mereka. Penerbit-penerbit buku perlu bijak menggunakan kecenderungan ataupun kegemaran generasi muda masa kini. Sebagai contoh, minda anak-anak akan lebih tertarik dengan buku-buku yang mempunyai gambar dan berwarna-warni. Hal ini adalah kerana anak-anak mempunyai daya imaginasi yang tinggi dan sudah pasti mereka mahukan sesuatu bahan bacaan yang berwarna-warni agar mereka dapat berimaginasi. Selain itu, genre buku yang digemari para pelajar ataupun remaja pula perlu diambil berat. Remaja masa kini gemar akan buku-buku dan novel-novel yang berbentuk seram dan mencabar minda mereka. Saya berpendapat bahawa genre-genre buku yang baik mampu menarik minat masyarakat kita untuk membaca. Oleh sebab itu, pihak penerbitan buku perlulah mengambil langkah dengan kadar segera untuk menjadikannya satu realiti.

Selain peranan penerbit buku, media massa juga mempunyai pengaruh yang besar untuk menyebarkan sesuatu berita ataupun info terkini. Selaras dengan itu, pengaruh media massa mampu membantu memupuk budaya membaca dalam masyarakat. Misalnya, media elektronik seperti radio, televisyen dan Internet perlulah mampu memberikan kesan kepada penonton atau pendengar dan menepati kehendak dalam memupuk budaya membaca. Bagi media cetak pula, mereka hendaklah menyediakan artikel-artikel yang menarik dan secara tidak langsung para pembaca akan membaca dan terus membaca sehingga ke muka surat yang terakhir. Berita-berita dan isu semasa yang dipaparkan dalam media massa haruslah merangkumi semua peringkat umur. Hal ini dapat merangsang minat golongan ramaja untuk membaca bahan-bahan itu. Sesungguhnya, peranan media massa mampu menjadikan masyarakat Malaysia masyarakat yang cinta akan buku.

Secara intihannya, budaya membaca di negara kita akan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara Jepun dengan adanya kerjasama semua pihak. Kita harus menggembleng tenaga untuk bersama-sama berusaha mencari alternatif terbaik bagi mengalakkan masyarakat kita membaca. Masyarakat kita harus disemai dengan budaya membaca sebagai satu rutin hidup yang mendatangkan manfaat yang amat berguna. Oleh sebab itu, semua pihak terutamanya ibu bapa perlulah menjalankan tanggungjawab memupuk budaya dan membaca agar generasi masa hadapan lebih efektif dan berkeupayaan. Sesungguhnya, generasi muda yang berilmu pengetahuan tinggi ini merupakan aset penting untuk pembangunan negara yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

 

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: